Monday, 23 March 2015

Sedia.. Mula!


Ke garisan.. Sedia, mula!
Diikuti bunyi tembakan. Tanda peserta acara lumba lari dilepaskan. Pernah terfikirkah kalian, mungkinkah ketika mana sperma dilepaskan, mungkinkah begini juga lagaknya mereka berlumba-lumba mengejar untuk memenangi hati sang ovum hinggalah kalian yang ditakdirkan berjaya. Alhamdulillah, semakin sihat dan ceria dengan nikmat islam dan iman yang dikecapi itu.

Dalam seharian hidup kita, banyak benda yang kita buat. Namun, prihatin atau tidak kalian pada setiap permulaan aktiviti kalian? Mulakanlah dengan kalimah basmallah yang bermaksud Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya disitu ada keberkatannya.

Diriwayatkan, dahulu ada seorang hamba Allah ini sangat jahat. Apa sahaja perkara jahat tiada yang tidak pernah dia tidak lakukan. Hidupnya sangat senang digelumangi dosa-dosa itu. Sehinggalah satu hari, hidayah Allah terbit dari hatinya. Dia mahu bertaubat. Lalu, dia berjalan mencari alim ulama. Ditakdirkan dia bertemu dengan seorang ulama ini.

“ Assalamualaikum tok, saya ini banyak sekali dosanya. Masih bolehkah saya ingin berubah menjadi baik?” tanya pemuda itu.
“Boleh.” Jawab ulama’ yakin.
“Bagaimana?”
“Disetiap awal perbuatanmu, mintalah izin dengan Allah selalu.” Nasihat sang ulama.
“Apa sahaja perbuatan?”
“Ya, apa sahaja.” Jawab ulama.

Maka, bermulalah perjalanan sang pendosa itu kearah pembaikan. Disetiap awal perbuatannya, dia pasti meminta izin dengan Allah terlebih dahulu. Sebelum minum arak, sebelum mencuri, sebelum makan dan sebelum apa sahaja. Semua benda dibuatnya dengan meminta izin dari Allah dahulu.

Secara logiknya, bagaikan tiada manfaat disitu. Tetapi, dalam tidak sedar, sebenarnya, dia telah mengingati Allah selalu. Ketahuilah bahawasanya, selangkah kita merapati Allah, seribu langkah Allah berlari kearah kita. Subhanallah.. Hebat sungguh kasih Allah pada hambaNya. Maka, setelah berhari-hari pemuda itu melafazkan nama Allah dan selalu mengingati Allah, terbit dihatinya betapa Allah tidak suka perbuatan dosanya itu. Pengakhiran yang baik menjadi miliknya. Pemuda itu bertaubat akhirnya dan menjadi hamba yang soleh. Alhamdulillah.

Begitulah hebatnya kalimah Allah itu sendiri. Zikir yang tidak pernah putus mengundang cinta Allah pada kita. Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh amalkan kalimah basmallah diawal setiap perbuatan kita. Seawal bangun pagi hinggalah tika hendak tidur lagi. Sebelum gosok gigi, baca basmallah. Sebelum pakai kasut baca basmallah. Sebelum sidai baju, baca basmallah. Begitulah juga sebelum apa sahaja. Mulakanlah dengan basmallah. Hati kalian pasti lebih tenang dan tenteram kerana sesungguhnya,

“Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
(Ar – Rad : 28)



Ramai seringkali salah tafsir mengenai ibadah. Selalu dianggap, hanya solat, puasa, zakat, sedekah dan haji itu dikira ibadah. Namun, tanpa sedar, aktiviti yang berpotensi dikira ibadah seringkali tersia begitu sahaja. Bagaimana mahu jadikan segala perbuatan kita menjadi ibadah?

Ya! Dengan memulakan setiap amal dengan kalimah Allah. Lantaran itulah, pena menyeru kalian mengamalkan kalimah basmallah diawal perbuatan. Semakin kerap Allah dihati kalian, semakin dekat Allah dengan kalian. Semakin dekat kalian dengan Allah, semakin damai hati kalian. InsyaAllah. Itu janji Allah dan Allah selalu berpegang pada janjiNya.

Namun, harus diingati satu perkara. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Walaupun, mungkin akan ada yang bercita-cita menjadi Robin Hood Melayu, ketahuilah itu tetap dikira dosa. Biar berkarung malah berguni sekalipun kalian niat mencuri kerana Allah, dosa tetap dosa.


MasamManis : Berbekalkan amalan mengingati Allah selalu ini, yakinlah insyaALLAH kalian akan lebih bahagia J

No comments:

Post a Comment