Monday, 23 March 2015

Sedia.. Mula!


Ke garisan.. Sedia, mula!
Diikuti bunyi tembakan. Tanda peserta acara lumba lari dilepaskan. Pernah terfikirkah kalian, mungkinkah ketika mana sperma dilepaskan, mungkinkah begini juga lagaknya mereka berlumba-lumba mengejar untuk memenangi hati sang ovum hinggalah kalian yang ditakdirkan berjaya. Alhamdulillah, semakin sihat dan ceria dengan nikmat islam dan iman yang dikecapi itu.

Dalam seharian hidup kita, banyak benda yang kita buat. Namun, prihatin atau tidak kalian pada setiap permulaan aktiviti kalian? Mulakanlah dengan kalimah basmallah yang bermaksud Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya disitu ada keberkatannya.

Diriwayatkan, dahulu ada seorang hamba Allah ini sangat jahat. Apa sahaja perkara jahat tiada yang tidak pernah dia tidak lakukan. Hidupnya sangat senang digelumangi dosa-dosa itu. Sehinggalah satu hari, hidayah Allah terbit dari hatinya. Dia mahu bertaubat. Lalu, dia berjalan mencari alim ulama. Ditakdirkan dia bertemu dengan seorang ulama ini.

“ Assalamualaikum tok, saya ini banyak sekali dosanya. Masih bolehkah saya ingin berubah menjadi baik?” tanya pemuda itu.
“Boleh.” Jawab ulama’ yakin.
“Bagaimana?”
“Disetiap awal perbuatanmu, mintalah izin dengan Allah selalu.” Nasihat sang ulama.
“Apa sahaja perbuatan?”
“Ya, apa sahaja.” Jawab ulama.

Maka, bermulalah perjalanan sang pendosa itu kearah pembaikan. Disetiap awal perbuatannya, dia pasti meminta izin dengan Allah terlebih dahulu. Sebelum minum arak, sebelum mencuri, sebelum makan dan sebelum apa sahaja. Semua benda dibuatnya dengan meminta izin dari Allah dahulu.

Secara logiknya, bagaikan tiada manfaat disitu. Tetapi, dalam tidak sedar, sebenarnya, dia telah mengingati Allah selalu. Ketahuilah bahawasanya, selangkah kita merapati Allah, seribu langkah Allah berlari kearah kita. Subhanallah.. Hebat sungguh kasih Allah pada hambaNya. Maka, setelah berhari-hari pemuda itu melafazkan nama Allah dan selalu mengingati Allah, terbit dihatinya betapa Allah tidak suka perbuatan dosanya itu. Pengakhiran yang baik menjadi miliknya. Pemuda itu bertaubat akhirnya dan menjadi hamba yang soleh. Alhamdulillah.

Begitulah hebatnya kalimah Allah itu sendiri. Zikir yang tidak pernah putus mengundang cinta Allah pada kita. Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh amalkan kalimah basmallah diawal setiap perbuatan kita. Seawal bangun pagi hinggalah tika hendak tidur lagi. Sebelum gosok gigi, baca basmallah. Sebelum pakai kasut baca basmallah. Sebelum sidai baju, baca basmallah. Begitulah juga sebelum apa sahaja. Mulakanlah dengan basmallah. Hati kalian pasti lebih tenang dan tenteram kerana sesungguhnya,

“Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
(Ar – Rad : 28)



Ramai seringkali salah tafsir mengenai ibadah. Selalu dianggap, hanya solat, puasa, zakat, sedekah dan haji itu dikira ibadah. Namun, tanpa sedar, aktiviti yang berpotensi dikira ibadah seringkali tersia begitu sahaja. Bagaimana mahu jadikan segala perbuatan kita menjadi ibadah?

Ya! Dengan memulakan setiap amal dengan kalimah Allah. Lantaran itulah, pena menyeru kalian mengamalkan kalimah basmallah diawal perbuatan. Semakin kerap Allah dihati kalian, semakin dekat Allah dengan kalian. Semakin dekat kalian dengan Allah, semakin damai hati kalian. InsyaAllah. Itu janji Allah dan Allah selalu berpegang pada janjiNya.

Namun, harus diingati satu perkara. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Walaupun, mungkin akan ada yang bercita-cita menjadi Robin Hood Melayu, ketahuilah itu tetap dikira dosa. Biar berkarung malah berguni sekalipun kalian niat mencuri kerana Allah, dosa tetap dosa.


MasamManis : Berbekalkan amalan mengingati Allah selalu ini, yakinlah insyaALLAH kalian akan lebih bahagia J

Friday, 20 March 2015

Berkatalah Yang Baik

Pernah tidak anda terguris dengan teguran serta gurauan kasar rakan atau teman anda? Pernah tidak suara yang nyaring dan kuat merenyukkan jiwa anda?

Pernah?

Rasa apa waktu itu? Marah? Sedih? Pilu? Geram?

Baiklah, sekarang ini cuba renung sejenak, pernah tidak anda melontarkan kata-kata kesat? Pernah tidak anda melempiaskan marah dengan nada yang kasar? Pernah? Pernah terfikir apa perasaan orang yang dimarahi anda itu?

Ya, dunia ini berputar. Kadang-kadang kita yang marah. Kadang-kadang kita dimarahi. Namun, tahukah anda, memilih untuk tidak marah itu menjadikan anda bertambah comel dan disayangi. Saat tidak marah, jiwa jadi tenang. Bila jiwa tenang, kata-kata yang hadir dibibir juga lebih enak didengar.



Latihlah diri anda untuk selalu melontarkan kata-kata yang baik. Jangan biarkan anda menjadi penyebab koyakan hati sahabat anda. Rasulullah SAW sendiri pernah marah. Namun, baginda tidak pernah melontarkan kata-kata yang buruk. Selalu yang indah sahaja terbit dari Baginda. Mulia sungguh akhlak Baginda.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Kadang-kadang, ada dikalangan kita ini selalu mudah melatah. Lebih malang apabila melatah itu, habis semua yang tidak elok keluar laju meniti dibibir dia. Kurang manis dan kurang comel dilihat ramai. Tambah-tambah pula kita ini da’I, penyampai agama Allah, agama Islam.

Lebih manis, jika dilatih diri yang selalu melatah itu untuk menyebut zikrullah. Lazimi diri dengan kalimah-kalimah pujian buat Allah. Tanda hati itu selalu ingat pada Dia. Pencipta sekalian alam.

Melalui tutur yang lembut juga, rasa kasih dan sayang makin bercambah. Tiada yang terluka. Ramai yang bahagia.

Satu lagi penyakit yang kelihatan biasa dan enak. Bual kosong di waktu senggang menceritakan perihal orang. Dalam tidak sedar, rupanya sudah terlajak menabur dosa. Daripada si pencerita hinggalah kepada si pendengar. Semua dapat saham dosa yang serupa.


Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.
Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.

Belajarlah menghindari kumpulan-kumpulan yang sedang berbicara mengenai perihal orang. Sesungguhnya mengumpat itu adalah apabila engkau berkata benar mengenai seseorang dibelakangnya yang mana apabila dia mendengar, dia tidak suka. Manakala, memfitnah pula, berkata yang tidak benar mengenai seseorang dibelakangnya. Ketahuilah, kedua-duanya membawa kemudoratan.

Memang benar, tidak semua mampu dipendam seorang diri. Tapi, belajarlah meluahkan hanya kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Melalui pengaduan kepada Allah sahajalah rasa tenang akan dikecapi, malah, penyelesaian juga bakal menjelma. InsyaAllah.

Jadi mulai hari ini, belajarlah untuk mencontohi peribadi Baginda SAW. Berkatalah hanya yang benar juga baik-baik sahaja. Berfikir sebelum mula berbicara dan tinggalkan kata-kata penuh duri yang bisa merobek sesiapa sahaja. J
  

Thursday, 19 March 2015

ASSALAMUALAIKUM


Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Salam sejahtera ke atas kalian dan semoga kalian juga selalu didalam rahmat dan kasih sayang ALLAH selalu. Itulah antara yang mampu ditafsirkan melalui lafaz salam yang saban kali kita lafazkan saat bersua dengan kenalan kita. Tika pulang kerumah juga lafaz inilah yang kita ungkapkan sebelum melangkah masuk kedalam rumah. Namun, bilamana bertemu dengan orang yang tidak dikenali walau dia beragama Islam, kita tanpa sedar telah menafikan haknya. Kita bukan sahaja tidak senyum, bahkan mendoakannya juga tidak. Allahuakbar, tahukah kalian dengan mendoakan orang Islam yang lain, itu tanda kamu kasih padanya.

Maka, lazimilah kalian dengan ungkapan salam itu buat sesiapa sahaja yang kalian temui. Melafazkan kalimah salam itu hukumnya sunat manakala menjawabnya pula hukumnya wajib. Sesungguhnya, ketahuilah orang yang terlebih dahulu memberi salam itulah yang lebih baik.



Dikhabarkan setiap kali sahabat-sahabat bertemu baginda Rasulullah SAW, tidak akan pernah mereka berpeluang mendahului ungkapan salam itu. Betapa Rasulullah sangat suka memberi salam dan mendoakan orang lain. Satu sunnah mudah yang pasti indah jika kita sama-sama amalkan.

‘Apabila diucap dengan satu ucapan maka balas olehmu dengan ucapan yang lebih baik daripadanya atau jawab secara yang elok, sesungguhnya Allah ke atas setiap sesuatu akan diperhitungkan.’
(Surah Al-Nism: 86)

Kalimah yang dipetik dari kitabullah ini menyarankan kita selaku umat Islam mengamalkan melafazkan kata-kata yang baik tiap kali bertemu. Dengan itu, kita akan selalu dibawah redha dan kasih sayangNYA berkat doa sesama kita.

Lafaz yang sebaiknya bagi salam adalah ‘Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh’. Lantas, disantuni dengan ‘ waalaikumsalam warahmatullahhi wabarakatuh’. Walaubagaimana pun, memadailah andai kalimah ‘Assalamualaikum’ dilafazkan. Namun, sebaiknya, yang menjawab salam itu perlulah lebih panjang doanya buat yang memberi salam.

Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. dan berkata, ‘Assalamualaikum’. Maka Rasulullah menjawab salam kemudian dia duduk. Maka Rasulullah berkata sepuluh pahala kemudian datang yang lain memberi salam dengan berkata ‘Assalamualaikum warahmatullah’, lalu Rasulullah jawab salam tadi, dan berkata dua puluh pahala. Kemudian datang yang ketiga terus berkata ‘Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’. Rasulullah pun menjawab salam tadi dan terus duduk, maka Rasulullah berkata tiga puluh pahala.
(Riwayat Oleh Abu Daud Tarmizi: Hadis Hasan)

Bagaimana pula halnya andai kita dalam keadaan tergesa-gesa atau ingin cepat? Begitu juga jika kita berada didalam kereta yang berasingan yang mana jika diberi salam pasti tidak kedengaran. Maka, dijelaskan disini, memberi salam itu tidak semestinya dengan lafaz. Misalnya anda berada didalam kereta yang berlainan dan kebetulan bertembung, membunyikan hon juga sudah cukup. Tanda anda menyapanya. Waima, saat berjalan-jalan keliling hostel juga, pasti bertemu ramai yang dikenali. Mengangkat tangan itu sudah cukup. Sesekali berlagak aksi Yang Berhormat pasti seronokkkan?

‘Memberi salam oleh yang berkenderaan ke atas yang berjalan, yang berjalan ke atas yang duduk, yang sedikit ke atas yang hanyak dan pada satu riwayat yang kecil ke atas yang besar".
(Riwayat Al Bukhari)

MasamManis : Andai ada yang berjantina adam memberi salam, periksa dulu niatnya. Jika niatnya untuk mengusik atau bergurau senda, maka, abaikanlah. Mahalkan dirimu. Biar dianggap sombong oleh mereka, asalkan, Allah dan Rasul sayang akan kita selalu.





Rujukan :
1) buku hadis 40

2) adab pergaulan mengikut al-quran dan as-sunnah ; Dr. Rokiah Ahmad,Jabatan Pengajian Al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam ,Universiti Kebangsaan Malaysia ,43600 Bangi, Selangor. (www.dakwah.info)