Friday, 20 March 2015

Berkatalah Yang Baik

Pernah tidak anda terguris dengan teguran serta gurauan kasar rakan atau teman anda? Pernah tidak suara yang nyaring dan kuat merenyukkan jiwa anda?

Pernah?

Rasa apa waktu itu? Marah? Sedih? Pilu? Geram?

Baiklah, sekarang ini cuba renung sejenak, pernah tidak anda melontarkan kata-kata kesat? Pernah tidak anda melempiaskan marah dengan nada yang kasar? Pernah? Pernah terfikir apa perasaan orang yang dimarahi anda itu?

Ya, dunia ini berputar. Kadang-kadang kita yang marah. Kadang-kadang kita dimarahi. Namun, tahukah anda, memilih untuk tidak marah itu menjadikan anda bertambah comel dan disayangi. Saat tidak marah, jiwa jadi tenang. Bila jiwa tenang, kata-kata yang hadir dibibir juga lebih enak didengar.



Latihlah diri anda untuk selalu melontarkan kata-kata yang baik. Jangan biarkan anda menjadi penyebab koyakan hati sahabat anda. Rasulullah SAW sendiri pernah marah. Namun, baginda tidak pernah melontarkan kata-kata yang buruk. Selalu yang indah sahaja terbit dari Baginda. Mulia sungguh akhlak Baginda.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Kadang-kadang, ada dikalangan kita ini selalu mudah melatah. Lebih malang apabila melatah itu, habis semua yang tidak elok keluar laju meniti dibibir dia. Kurang manis dan kurang comel dilihat ramai. Tambah-tambah pula kita ini da’I, penyampai agama Allah, agama Islam.

Lebih manis, jika dilatih diri yang selalu melatah itu untuk menyebut zikrullah. Lazimi diri dengan kalimah-kalimah pujian buat Allah. Tanda hati itu selalu ingat pada Dia. Pencipta sekalian alam.

Melalui tutur yang lembut juga, rasa kasih dan sayang makin bercambah. Tiada yang terluka. Ramai yang bahagia.

Satu lagi penyakit yang kelihatan biasa dan enak. Bual kosong di waktu senggang menceritakan perihal orang. Dalam tidak sedar, rupanya sudah terlajak menabur dosa. Daripada si pencerita hinggalah kepada si pendengar. Semua dapat saham dosa yang serupa.


Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.
Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.

Belajarlah menghindari kumpulan-kumpulan yang sedang berbicara mengenai perihal orang. Sesungguhnya mengumpat itu adalah apabila engkau berkata benar mengenai seseorang dibelakangnya yang mana apabila dia mendengar, dia tidak suka. Manakala, memfitnah pula, berkata yang tidak benar mengenai seseorang dibelakangnya. Ketahuilah, kedua-duanya membawa kemudoratan.

Memang benar, tidak semua mampu dipendam seorang diri. Tapi, belajarlah meluahkan hanya kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Melalui pengaduan kepada Allah sahajalah rasa tenang akan dikecapi, malah, penyelesaian juga bakal menjelma. InsyaAllah.

Jadi mulai hari ini, belajarlah untuk mencontohi peribadi Baginda SAW. Berkatalah hanya yang benar juga baik-baik sahaja. Berfikir sebelum mula berbicara dan tinggalkan kata-kata penuh duri yang bisa merobek sesiapa sahaja. J
  

No comments:

Post a Comment